referendum
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin.

Menurut sumber SPRM, Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard sebelum ini mendakwa, mahu menghantar secara pos memorandum mengenai sebuah rumah di Sungai Long yang didiami Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber berkata, pada 11 Julai lalu, Chegubard telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerah memorandum berkenaan di pondok keselamatan selepas selesai melakukan sidang media.

“Namun, pegawai SPRM memaklumkan prosedur penyerahan memorandum mesti dibuat di dalam premis dan ada pegawai yang sedia menunggu untuk menerimanya.

“Beliau enggan masuk dan maklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos di mana setakat ini SPRM masih belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada individu terbabit,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada individu bernama Badrul Hisham Shaharin atau mana-mana pihak.

Media sebelum ini melaporkan, Chegubard dalam sidang akhbar menggesa SPRM menyiasat Anwar berhubung pemilikan kediaman di Kajang, Selangor.

Beliau mendakwa rumah di Sungai Long tersebut milik lelaki Cina dan turut berkongsi dokumen yang didakwa ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar.

Dokumen tersebut didakwa mengesahkan banglo tersebut dimiliki oleh lelaki Cina berkenaan yang dikatakan seorang ahli perniagaan.

Chegubard turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik Perdana Menteri.

Ini termasuk kereta Jaguar yang didakwa dimiliki oleh Yayasan Aman Berhad yang mana Anwar adalah pengasas dan penasihatnya.

Beliau turut mendakwa Perdana Menteri memiliki sebuah kereta BMW yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan lain dari Selangor. – MalaysiaGazette