Keadaan tangan bayi yang bengkak sehingga bernanah.

MELAKA – Hospital Melaka (HM) diarah menyiasat dakwaan kejadian tangan seorang bayi dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan demam campak seperti tular di media sosial semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, beliau telah menghubungi pengarah hospital terbabit untuk menyiasat tuduhan itu.

“Saya terbaca kenyataan En Mohamad Izwan itu terhadap HM semalam mendakwa berlaku kecuaian doktor apabila bahagian tangan kanan anak saudaranya itu yang dimasukkan jarum membengkak selepas 11 hari dirawat di hospital akibat demam campak.

“Dakwanya, doktor meminta dilakukan pembedahan untuk mengeluarkan nanah dan saya telah mengarahkan Pengarah Hospital Melaka buat siasatan mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan individu lelaki terbabit mengenai kejadian itu yang dimuat naik di Facebook sebelum tular di media sosial semalam.

Mohamad Izwan mempersoalkan apakah yang dilakukan doktor hospital berkenaan sehingga tangan bayi berusia dua bulan itu membengkak dan bernanah.

“Sudah 11 hari dalam hospital, bahagian tangan yang dimasukkan jarum membengkak,” dakwanya. – MalaysiaGazette