KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Danau Kota di sini rasa bersyukur dengan Jualan Rahmah Bergerak di lokasi mereka yang menyediakan pelbagai promosi keperluan harian.
Jualan Rahmah Bergerak inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan lebih ramai golongan sasar menerima manfaat.
Tinjauan di flat Danau Kota sejak 9 pagi menyaksikan ia menjadi tarikan dengan kehadiran ratusan orang yang berbaris untuk membeli barangan keperluan masing-masing.
Menurutwakil KPDN, sebanyak 11 barangan keperluan iaitu ayam 1.5 kilogram (kg), daging 900 gram, beras 5 kg, minyak masak 5 kg, ikan kembong 1 kg, Milo 1 kg, telur ayam kampung 30 biji, santan 200 ml, sos cili 510 g, sabun pinggan 1 liter dan kicap 325 ml dijual antara RM3 hingga RM10 sahaja.
Beberapa penduduk gembira dengan jualan berkenaan kerana ia dapat menjimatkan wang dalam keadaan kos barangan semakin meningkat sekarang.
Menurut Baharuddin Sabran, 69, jualan harga Rahmah sangat berpatutan dan membantu menampung keperluan keluarganya selama beberapa hari.
“Harga-harga sangat memuaskan, sangat membantu. Saya ucap terima kasih sangat-sangat. Memang bagus inisiatif ini, sangat berpuas hati,” katanya.
Bagi Haslinda Hashim, 49, dia terkejut dan seperti tidak percaya melihat harga barangan keperluan yang dijual hari ini.
“Saya terkejut dan sangat berpuas hati dengan kualiti barangan. Semuanya elok berpatutan. Saya siap turun dua kali dan beli hampir kesemua barangan dijual mengikut kuota. Dengan keadaan keluarga ramai, memang inisiatif seperti ini sangat membantu,” ujarnya.
Untuk Suhaila Mohd Hashim, 46, kerajaan dicadangkan untuk menambah barangan seperti sayur-sayuran juga pada sesi jualan lain.
“Sangat gembira dengan harga-harga, memang murah dan betul harga Rahmah sangat membantu kami. Terima kasih sangat tapi harap akan ada lebih banyak jualan seperti ini. Cukup membantu kami,” ujarnya.
Manakala Nge Guan Bee, 65, jualan Rahmah sangat baik dan perlu diperluaskan lagi dengan kuantiti serta bahan-bahan keperluan lain.
“Saya turun bawah tadi, tengok harga. Memang di luar lebih mahal. Sini sangat murah. Kalau ada lagi lagi baik, kita sangat berterima kasih tapi harap kerajaan akan adakan lagi dan perbanyakkan lagi barangan keperluan lain,” katanya.
Bagi Shamala Devi, 57, ini adalah kali pertama membeli dengan harga murah.
“Saya selalu dengar sahaja tapi hari ini sendiri nampak. Memang murah, barangan juga berkualiti. Ayam sangat bagus. Nanti harapnya buat lagi,” katanya.
Menurut Gubachan Singh, 62, inisiatif kerajaan itu sepatutnya di diterima baik apatah lagi barangan-barangan yang dijual murah itu bukan sahaja keperluan harian tetapi satu usaha untuk menangani isu kenaikan barangan.
“Ramai yang susah, inisiatif seperti ini agak membantu. Memang bagus. Orang juga ramai hendak beli barang apabila adanya jualan murah seperti ini,” jelasnya. -MalaysiaGazette