Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program MyPSV yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan memberi manfaat kepada seramai 4,000 golongan B40 yang ingin mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan media baru-baru ini berkata, inisiatif yang melibatkan peruntukan RM2 juta di bawah Belanjawan 2023 itu meliputi seramai 3,500 calon Lesen Vokasional PSV E-Hailing/Teksi dan 500 calon Lesen Vokasional PSV Bas di seluruh negara.

Katanya, peruntukan tersebut merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM190 bagi setiap calon Lesen Vokasional PSV E-Hailing/Teksi manakala RM2,590 untuk setiap calon Lesen Vokasional PSV Bas.

“Program ini juga sebagai komitmen dan usaha cakna Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig, seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam dan pelancongan negara,” katanya.

Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaaan Tahun 2023 disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Batang Kali, Selangor pada 3 Julai.

Melalui program itu, JPJ menyelaras senarai penerima bantuan dengan institut memandu dan pengendali e-hailing dan dengan kerjasama persatuan-persatuan pengusaha bas serta agensi-agensi lain yang terlibat.

Syarat kelayakan bagi mendapatkan Lesen Vokasional PSV di bawah Program MyPSV adalah calon merupakan warganegara Malaysia, berumur 21 tahun dan ke atas, lulus pemeriksaan kesihatan (JPJL8A) dan bebas senarai hitam (JPJ/ Polis Diraja Malaysia/ mahkamah).

Selain itu, pemohon Lesen Vokasional PSV E-Hailing/Teksi mesti memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas D.

Pemohon bagi Lesen Vokasional PSV (Bas dengan BTM) melebihi 7,500 kilogram pula mesti memiliki CDL Kelas D (sekurang-kurangnya setahun) atau CDL Kelas E.

JPJ menjelaskan bahawa calon-calon di bawah Program MyPSV Bas perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, Latihan dan Ujian Praktikal (merangkumi litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada manakala calon-calon di bawah Program MyPSV E-Hailing hanya perlu menduduki Kursus Teori E-Hailing.

“Kerajaan berharap inisiatif ini dapat membantu golongan B40 yang berdepan dengan cabaran ekonomi untuk mendapatkan Lesen Vokasional PSV serta melahirkan pemandu kenderaan yang kompeten, selamat dan profesional bagi memenuhi keperluan pemandu dalam sektor pengangkutan awam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – MalaysiaGazette