KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, ketika bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris telah melihat dua kapal merapat antara satu sama lain disyaki melakukan aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan di kedudukan 1 batu nautika tenggara Pulau Perjudi sekitar pukul 3 petang.
Pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak diesel kepada sebuah kapal kargo tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti terbabit.
Kapal kargo sepanjang 31 meter yang berdaftar di Port Dickson itu dikendalikan oleh empat kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga tempatan.
Manakala kapal tangki pula didaftarkan di Zanzibar, Tanzania dikendalikan oleh lima kru lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia.
Kedua-dua kapal seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952.
Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib. – MalaysiaGazette