PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 November ini untuk mendengar rayuan enam lelaki yang dihukum mati selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, tujuh tahun lalu.

Jasmine Cheong, seorang daripada peguam yang mewakili bekas pakar patoloji, Kolonel Dr R. Kunaseegaran serta Kitson Foong, mewakili S. Ravi Chandaran, mengesahkan kepada Bernama tarikh pendengaran rayuan tersebut.

Tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Sementara itu, Foong berkata, mahkamah turut memberi arahan kepada pihak pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 9 Oktober dan hujahan jawapan selewat-lewatnya pada 23 Oktober ini.

Beliau berkata, mahkamah juga menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 26 Okt ini.

Pada 10 Julai 2020, Kunaseegaran, 59, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 51, dan empat penganggur R Dinishwaran, 30, A K Thinesh Kumar, 29, M Vishwanath, 32, serta S Nimalan, 29, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.

Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015 . – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast