SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas pegawai teknologi maklumat, membela diri atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam kejadian langgar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur-Seremban, empat tahun lepas.

Hakim Julia Ibrahim membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yew Wei Liang, 45, di akhir kes pendakwaan.

Julia berkata setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan, mahkamah mendapati tertuduh (Yew), belum melunaskan beban pembuktian ke atas pembelaan.

“Keterangan menunjukkan provokasi dimulakan oleh tertuduh sendiri apabila menyerang si mati di tempat kejadian. Mengenai hak untuk mempertahankan diri, mahkamah mendapati tertuduh telah bertindak melebihi hak mempertahankan diri dengan berterusan melanggar si mati, walaupun ancaman telah dipatahkan dan si mati telah melarikan diri.

“Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan secara prima facie ke atas tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata hakim itu.

Julia kemudian menetapkan prosiding bela diri kes berlangsung selama dua hari, bermula 16 Ogos ini.

Terdahulu, hakim itu memaklumkan kepada Yew bahawa dia mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang, untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas.

Bagaimanapun, Yew yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang pilihan kepada mahkamah dan memohon untuk berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu.

Seramai 20 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 27 Okt 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Yew diwakili peguam Wee Choo Keong.

Pada 22 Ogos 2019, Yew didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 dan 2 petang, 10 Ogos 2019.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.