Zahari Sarip hadir di Program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 35 sekolah telah dipilih tahun ini untuk menyertai program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 berbanding hanya 10 sekolah pada tahun lalu.

Sekolah-sekolah ini melibatkan tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat, Kluang dan Muar dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM130,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, program ini menunjukkan betapa kerajaan negeri ini komited untuk memperkasa peranannya sebagai bakul dan pengeluar utama bekalan makanan di negara ini menerusi pendedahan asas pertanian di peringkat sekolah.

“Setiap sekolah akan menerima kit penanaman berserta bekalan input pertanian dan sijil pengiktirafan sekolah angkat daripada Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech),” katanya selepas merasmikan Program Johor Food Security Hero: Farm To School 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru hari ini.

Zahari turut berharap supaya program tersebut dapat dimanfaatkan oleh pihak sekolah terutamanya dalam memberi pendedahan asas pertanian kepada para pelajar.- MalaysiaGazette