Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Senario politik yang berlaku dalam negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jauh berbeza dengan suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Ogos ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ketika PRU15 lalu, keadaan negara tidak stabil disebabkan berlaku krisis politik.

Sedangkan, katanya, menjelang PRN ini, suasana agak bercelaru apabila ada pihak dari parti tertentu mengambil kesempatan memainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.

“Justeru, pada saya, latar ini menegangkan lagi keadaan sehingga pengundi sukar untuk menerima parti yang memainkan isu agama, perkauman dan institusi raja.

“Bagaimanapun, selepas PRU15 November tahun lalu dan Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN), kita dapati pendekatannya berjaya mengubah kepada suasana baharu.

“Oleh itu, rakyat harus menolak dakwaan parti lawan kononnya apabila Kerajaan Perpaduan terbentuk, Islam terancam, Islam tidak dibela. Ini tidak benar apabila kita memelihara agama persekutuan dengan begitu baik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bicara Pertarungan Pertahan Maruah yang disiarkan menerusi televisyen internet malam tadi.

Antara ahli panel ialah Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, manakala moderator, Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid.

Menurut Dr. Mujahid, apa yang berlaku dalam PRN kali ini keadaannya dianggap sudah berubah dengan wujudnya sebuah Kerajaan Perpaduan yang meletakkan Malaysia Madani sebagai slogan dan dasar besarnya telah mengubah pelbagai persepsi yang selama ini ditanam pihak lawan ketika PRU15.

Beliau memberi contoh, apabila kerajaan dibentuk, menyaksikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam begitu ketara sekali, yang menggabungkan kekuatan ummah.

“Akhirnya rakyat mula nampak dan umat Islam mula melihat agama ini semakin hebat mendapat pembelaan di bawah Malaysia Madani.

“Saya yakin PRN kali ini akan menjadi medan untuk memperkukuh dan memberikan mandat yang lebih kuat dari segi sokongan rakyat di enam negeri untuk kita menerajui kerajaan perpaduan lebih selesa lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast