Pilihan raya enam negeri bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri

SAYA mendaftar sebagai pengundi di Kuala Lumpur sejak 2016. Jadi saya tidak terlibat dengan mana-mana Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak itu. Dan seingat saya juga (setelah 4-5 kali mengundi), tidak pernah lagi PRN mendapat perhatian sebanyak pada kali ini. Hampir setiap orang (termasuklah yang tidak mengundi untuk PRN seperti saya), dilimpahi dengan kandungan mengenai PRN pada setiap hari, sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri di enam negeri yang terlibat tempoh hari.

Tarikh-tarikh penting 29 Julai (hari penamaan calon) dan 12 Ogos (hari mengundi) telah dihafal; sepenting tarikh-tarikh pertunangan dan perkahwinan. Nama-nama parti, ‘poster boy’, dan bakal calon bermain di mata dan fikiran, setiap kali ibu jari menguis skrin telefon ke atas bagi menikmati suapan cerita politik terkini di media sosial. Yang melompat keluar (dan masuk) parti, atau duduk sebentar di tepi gelanggang, hatta yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali pun, tapi sering memberi ulasan di ruang media; semuanya kita kenali.

Ada yang pandai menggunakan retorik (soalan yang tidak memerlukan jawapan), ada yang pandai menakut-nakutkan dengan ketakutan yang bakal terjadi, dan yang paling ramai adalah spesies yang ingin memberikan hiburan dengan pelbagai kaedah yang kononnya menggelikan hati: menuding, merendah dan mempersenda orang lain. Apakah kita sedang menjadi penonton kepada persembahan komediri (stand-up comedy) yang panjang?

Menurut rakan baik saya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, yang juga merupakan penganalisis politik tempatan yang sedang meningkat naik, perbincangan (sembang?) politik sememangnya sesuatu yang nikmat. “Dari satu sudut, seseorang mungkin meminati perbincangan politik kerana ia memberikan identiti dan perasaan ‘sense of belonging’.

Sebagai individu, setiap daripada kita ingin dikenali dengan identiti khusus, supaya membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain. Politik juga membolehkan kita meneroka ruang untuk menyumbang kepada masyarakat, melalui penunaian tanggungjawab sebagai seorang pengundi. Dengan mengundi dan memahami politik, seseorang boleh merasakan yang dirinya memainkan peranan di dalam sistem demokrasi. Wakil rakyat yang terpilih kelak akan mewakili suara dan aspirasi kita, bakal membentuk masyarakat, undang-undang dan polisi; maka sudah tentunya perbincangan mengenai politik adalah sesuatu yang menarik dan berwarna-warni.

“Namun perlu juga difahami yang ruang perbincangan sebegini, terutamanya yang banyak memperkatakan tentang nilai, ideologi, dan karakter pemimpin, tidak akan lari daripada membincangkan perkara-perkara yang sifatnya subjektif. Perbezaan pendapat sudah pasti akan timbul. Tanpa kemahiran berdebat atau mengutarakan pendapat dengan baik, maka timbullah isu polarisasi, ketiadaan akauntabiliti, fitnah, dan lain-lain perkara negatif yang menjauhkan kita dari aspek positif perbincangan politik itu tadi.

“Ditambah dengan rekabentuk dunia media sosial itu sendiri yang sentiasa menuntut perhatian penggunanya, kandungan pendek yang berbentuk/berbunyi sensasi, akan mendapat tempat di hati dan fikiran kita. Tidak menghairankan jika ramai yang menganggap ‘cakap-cakap’ politik ini hanya sekadar hiburan, dan tidak mampu memainkan peranannya yang sebenar dalam membina bangsa dan negara,” terangnya panjang lebar.

Bak kata ibu saya satu masa dahulu ketika melihat saya asyik bermain basikal walaupun tarikh peperiksaan Penilaian Darjah Lima semakin hampir: “Sudah-sudahlah main basikal tu Zul. Tak lama lagi nak periksa.”

Saya kira sudah tiba masanya untuk kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tiada salahnya untuk kita berhibur, namun jangan diletakkan taraf perbincangan politik yang sepenting itu setara dengan ‘makanan’ hiburan ringan yang kita nikmati setiap hari di media sosial. Kongsi, komen, dan ikut mereka yang betul-betul layak mewakili suara dan hasrat kita dalam membina negara, bukan hanya sekadar pandai berjenaka dan menggelikan hati.

 

Penulis merupakan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya