MELAKA – Seorang wanita didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan membiak jentik-jentik nyamuk Aedes, tiga tahun lalu.
Majistret Nabilah Nizam membuat keputusan itu terhadap orang kena saman (OKS), Chua Ai Leng, 55, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, OKS didapati telah menimbulkan suatu keadaan yang boleh
memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit, iaitu larva nyamuk Aedes Albopictus di dalam tayar di belakang rumah sewanya.
Kesalahan itu dilakukan sekitar 10.35 pagi, 23 Oktober 2020 di sebuah premis beralamat di Jalan Tun Tan Cheng Lock dalam daerah Melaka Tengah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 13(1) dibaca bersama Seksyen 13(2), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan boleh didenda di bawah Seksyen 23(A), akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, dua pembantu kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan pemeriksaan di premis tersebut dan menjumpai pembiakan larva nyamuk di tayar dalam premis tersebut.
Larva telah dipungut dan pemeriksa larva telah melaporkan melalui Sijil Pemeriksaan Larva Nyamuk bahawa larva nyamuk tersebut adalah lima ekor Aedes Albopictus.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Raziah Nordin manakala OKS tidak diwakili peguam.
Raziah dalam hujahannya memohon hukuman setimpal, namun OKS dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibu yang sakit selain tidak menyedari kesalahan itu dilakukan adiknya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU)
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menasihatinya supaya menjaga kebersihan yang menjadi tanggungjawabnya kerana kesalahan itu boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat sekeliling walaupun dilakukan adiknya.
Mahkamah kemudian mengarahkan OKS didenda RM200 atau tiga hari penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.