Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (dua kanan) menunjukkan sebahagian barangan disyaki tiruan yang dirampas ketika sidang media di Stor Eksibit KPDN Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR  – Sembilan premis menjual barangan berjenama tiruan mencecah RM4,000 seunit diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa lalu.

Pelbagai barangan bernilai lebih RM250,000 berjaya dirampas menerusi Op Putra 3.0 yang dijalankan bermula jam 1 tengah hari di Jalan Petaling di sini bersama pihak polis dan wakil cap dagang.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya melakukan siasatan dan risikan selama dua minggu selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagang.

“Kesemua 2,505 unit barangan antaranya jam tangan, beg tangan, dompet, gelang dan cincin telah dirampas di enam gerai, tiga kedai dan sebuah stor dianggarkan bernilai RM250,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rentetan itu, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki pemilik premis untuk membantu siasatan.

Jelas Ariffin, berdasarkan maklumat kesemua barangan itu diperoleh dari luar negara dan menjadikan pelancong asing sebagai sasaran jualan.

“Kesemua barang tiruan itu dikatakan berkualiti tinggi dan dijual bermula RM400 hingga RM4,000 walhal kos sebenar serendah RM300 sahaja bergantung kepada kualiti,” ujarnya.

Tindakan akan diambil mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya turut memantau peniaga yang terbabit menjual barangan tiruan di platform media sosial termasuk TikTok.

Sehubungan itu, Ariffin menyeru wakil cap dagang yang berdaftar dapat bekerjasama dengan KPDN bagi membanteras aktiviti berkenaan yang semakin aktif di pasaran. – MalaysiaGazette