Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas)

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) komited untuk memberi kerjasama penuh dalam siasatan pihak polis berkenaan insiden penunggang motosikal yang cedera didakwa terlanggar benang yang melintang di atas Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Menerusi kenyataan Prolintas berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa dan menyarankan agar mangsa tampil memfailkan aduan kepada pihak berkuasa.

“Kami juga menggesa mana-mana saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkenaan insiden berkenaan untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya atau Prolintas secara terus,” katanya.

Menurut Prolintas, bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya, pasukan Peronda SUKE mula meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuh raya terbabit.

Katanya sebarang aktiviti berbahaya termasuk permainan layang-layang berdekatan lebuh raya akan diawasi dan dilaporkan kepada pihak polis dengan segera.

Selain itu katanya, SUKE bersama-sama dengan persatuan penduduk setempat akan menambah baik langkah-langkah keselamatan bagi membendung insiden sama berulang.

“Kami ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna dan masyarakat sekeliling adalah keutamaan kami.

“Pihak Lebuhraya SUKE akan terus memberi perhatian terhadap situasi berkenaan dan menyediakan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk maklum balas atau pertanyaan, pihak yang berkenaan boleh menghubungi talian hotline di 1-800-22-8888 atau e-melkan ke [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast