Keadaan tangki pam tandas yang menimpa kepala seorang murid di sebuah sekolah di Ipoh.

IPOH – Seorang murid perempuan Tahun Tiga cedera selepas ditimpa tangki pam tandas yang tercabut lalu terjatuh dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan, Taman Perpaduan di sini, pada Selasa lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata dalam kejadian itu, tangki seramik berkenaan terjatuh dan terkena kepala murid sesi petang tersebut ketika mengepam tandas selepas menggunakannya.

“Murid itu memaklumkan kejadian menimpanya kepada guru dan tindakan awal telah diambil pihak sekolah dengan menghantarkan dia kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan X-ray mendapati tiada sebarang kecederaan serius pada murid itu dan boleh dibawa balik ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup program ‘Rising Together’ anjuran bersama UKM-GSB dan Felcra Berhad, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihak sekolah diminta membuat pemantauan secara berkala berhubung penggunaan tandas dengan memastikan kemudahan itu sentiasa dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian itu berulang.

Dalam pada itu, Khairudin, berkata sebanyak 700 buah sekolah menengah dan rendah di Perak akan menerima peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf tandas seperti diumumkan Kementerian Pendidikan, Julai lalu.

“Kerja-kerja naik taraf itu telah pun diselaraskan Jabatan Pendidikan negeri dan ia perlu dilaksanakan sehingga Oktober ini mengikut piawaian yang ditetapkan demi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar menggunakannya,” katanya.

Pada 11 Julai lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengumumkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas.

— BERNAMA