KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mula melemparkan kritikan terhadap menteri berkaitan kelemahan yang ditonjolkan.
Menurut Mahathir, beliau telah memberikan tempoh yang sewajarnya kepada menteri dan menahan diri untuk membuat kritikan sejak kerajaan baharu ditubuhkan hampir lapan bulan lalu.
“Ini kerajaan yang tidak cekap. Pada awal saya tidak buat runggutan dan beri mereka masa. Laporan yang saya dapat daripada ramai orang ialah kerajaan ini tidak berfungsi,” katanya.
Mahathir turut mendakwa, menteri lebih utamakan gaji dan gelaran ‘yang berhormat’ dan hanya memberi tumpuan cara untuk mengekalkan kerajaan dan mengabaikan peranan mentadbir negara.
Beliau yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali mendakwa, masa depan negara akan terus ‘gelap’ sekiranya rakyat terus memilih kerajaan sedia ada.
Ini kerana menurut Mahathir, menteri hanya pandai bercakap ketika menjadi pembangkang namun tidak berdaya melakukan pembaharuan selepas dipilih menjadi kerajaan.
“Mudah kata (nak) turun harga minyak. Macam-mana nak turun? Tak tahu? Kita nak naik gaji pegawai kerajaan, di mana nak cari duit?
“Kita sekarang ini duit bayar hutang (Datuk Seri) Najib (Razak). Itu tak fikir? Kita beritahu syarikat kena bayar orang yang masuk dalam latihan. Kena naik gaji.
“Yalah orang itu peniaga, kalau naik gaji dia rugi. Jadi (bukan) mudah kerajaan nak naik harga, nak turun harga. Cuma cakap sahaja,” katanya dalam program terbitan MalaysiaGazette, Skop MG yang disiarkan di semua platform media sosial portal tersebut.
Tambah Mahathir, kebanyakan menteri tidak mempunyai pengalaman dan mereka dilantik kerana amalan demokrasi membenarkan siapa sahaja menjawat jawatan itu.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa menerima laporan kononnya ada menteri yang menolak pelaburan.
“Banyak aduan yang saya terima ialah menteri-menteri tidak mahu jumpa pelabur. Ada menteri yang bila jumpa dengan pelabur kata akan fikir atau ini bukan tanggungjawab saya, ada menteri lain.
“Laporan yang saya dapat daripada ramai orang ialah kerajaan ini tidak berfungsi. Saya nak cari (menteri) yang baik (buat kerja) tak jumpa. Tak ada hasil.
“Bercakap banyak kononnya berbilion-bilion pelaburan ada. Balik (dari luar negara) buat laporan kata ada pelaburan berbilion tapi sampai sekarang tak nampak satu langkah pun diambil untuk membawa pelaburan ini,” dakwa Mahathir. – MalaysiaGazette