Wan Saiful Wan Jan. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan dikemukakan peguam bela, Amer Hamzah Arshad dan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi.

Justeru, Rozina memerintahkan kes itu diteruskan dengan perbicaraan ditetapkan25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 22 Mei tahun depan selain menetapkan 1 Dis ini untuk pengurusan kes.

Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan itu atas alasan pertuduhan terhadapnya adalah cacat.

Dalam pada itu, Rasyidah Murni memaklumkan kepada mahkamah bahawa seramai 27 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Sementara itu, Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya tidak akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Wan Saiful pula berkata beliau menerima keputusan itu.- Bernama