KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang memonopoli pasaran sehingga menyebabkan harga barangan keperluan melambung tinggi.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan aktiviti kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan pasaran ternyata memberi kesan yang negatif kepada persaingan.
Ia juga menyekat aktiviti perniagaan terutamanya peniaga-peniaga kecil untuk bersaing secara sihat dalam pasaran negara.
“Lihat bagaimana kartel yang menguasai perusahaan industri ternakan ayam memanipulasi pasaran untuk kepentingan mereka pada tahun lalu.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya mengesan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang menjadi kartel menaikkan kuantum harga makanan ternakan itu yang melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
“Bagaimanapun tidak diketahui apa yang terjadi selanjutnya terhadap siasatan ini kerana tampuk pemerintahan negara telah bertukar tangan. Apakah status terkini tentang isu kartel?,” katanya dalam artikel yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, bagi mengatasi masalah kartel yang memopoli pasaran, beliau mencadangkan supaya Akta Persaiangab 2010 dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diperkasakan.
“Kerajaan harus memberi lebih penekanan terhadap aktiviti MyCC seperti menempatkan pakar-pakar yang mahir dan profesional dalam organisasi serta struktur penguatkuasaan MyCC yang lebih berkesan dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.
“Bukan itu sahaja, Akta Persaingan 2010 juga perlu dipinda bagi memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, proses pindaan tersebut telah dimulakan ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia dan berharap tindakan tersebut diteruskan oleh Kerajaan hari ini.
“Pindaan ini memberikan MyCC kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli oleh kartel,” katanya. – MalaysiaGazette