Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berharap orang ramai mendoakan kesembuhan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang baru menjalani pembedahan pendarahan otak.

Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan berkata, beliau dalam perjalanan melawat timbalan presiden parti itu, yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

“Saya terkejut apabila mendengar berita itu. Kami berharap dan mendoakan agar beliau cepat sembuh selepas berjaya menjalani pembedahan pagi tadi.

“Kami berharap rakyat turut mendoakan kesembuhan Salahuddin yang terkenal bekerja keras menangani isu kos sara hidup yang dihadapi orang ramai,” katanya menerusi perkongsian kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Amanah Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram, menjalani pembedahan selama empat jam  dan berakhir kira-kira 7.30 pagi.

“Pembedahan berjalan lancar dan dia pulih dengan baik,” katanya sambil menambah Salahuddin sedang berehat dan ditemani ahli keluarganya di hospital-MalaysiaGazette