Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek kekal dengan pendirian untuk meneruskan saman malu terhadap pihak yang membuat fitnah terhadapnya berhubung isu azan.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, tindakan itu akan dilakukan sekiranya pihak yang terlibat dalam menyebarkan fitnah itu termasuk di media sosial tidak memohon maaf secara terbuka.

“Ada (individu) yang sudah mohon maaf dan ada yang belum. Jadi yang belum (mohon maaf) ini kena berbuat sedemikian kerana fitnah itu dosanya besar daripada membunuh

“Saya tidak akan berganjak dengan keputusan meneruskan tindakan saman sekiranya mereka (penyebar fitnah isu azan) enggan memohon maaf,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program KV Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Sungai Acheh di sini, hari ini.

Fadhlina Sidek melancarkan Program KV Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Sungai Acheh, Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, beliau tidak akan berkompromi soal fitnah tambahan pula pada musim pilihan raya.

“Ini soal dasar, prinsip dan akhlak yang kita jaga jadi (orang ramai) tonton betul-betul video saya itu, kalau tak tonton jangan komen apa-apa kerana itu fitnah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberikan tempoh 24 jam kepada mana-mana pihak untuk membuat permohonan maaf serta menurunkan poster ‘Fadhlina gelar Melayu pertahan azan Melayu bangsat’.

Dalam hantaran di laman Facebook, Fadhlina berkata, laporan polis telah dibuat berkenaan fitnah yang berlegar-legar di media sosial.

Beliau menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman malu terhadap pihak yang membuat fitnah sesuka hati. – MalaysiaGazette

Fadhlina beri tempoh 24 jam untuk minta maaf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast