Noor Azleen Ambros ( kanan ) mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Johor.

JOHOR BAHRU – Gerak jentera kempen parti politik Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi perlu lebih sensitif terutama kawasan-kawasan tertentu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata,  walaupun kerjasama antara parti-parti kerajaan khususnya UMNO dan DAP semakin baik, namun penilaian teliti masih perlu dilakukan.

Menurut beliau, kempen secara bersama hanya sesuai dilaksana di beberapa negeri, terutama di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk pelbagai kaum yang lebih seimbang.

“Keserasian antara parti dalam Kerajaan Perpaduan wajar ditonjolkan dalam kempen jentera PRN, namun begitu ia masih perlu dilakukan dengan teliti.

“Ini bermakna, bagi kempen di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, adalah lebih sesuai sekiranya kempen digerakkan oleh jentera UMNO dan tidak melibatkan DAP,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Noor Azleen menambah, peringatan ini kerana s Noor Azleen, ia kerana masih terdapat penolakan yang kuat dalam kalangan masyarakat tempatan di dua negeri berkenaan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

“Sekiranya kempen di dua negeri itu tidak mengambil kira faktor ini, sudah tentu usaha mendekati rakyat akan menjadi sukar, sekali gus boleh menyebabkan calon-calon Kerajaan Perpaduan ditolak pengundi.

“Jadi adalah lebih baik sekiranya jentera parti Kerajaan Perpaduan difokuskan ke Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kedah, manakala UMNO lebih fokus kepada Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Selain itu kata beliau, UMNO selaku wakil tunggal Barisan Nasional (BN) berdepan tanggungjawab besar dalam PRN nanti.

“Itu satu jumlah besar, bermakna selaku parti tunggal, UMNO bertanding 44 peratus kerusi, paling banyak daripada calon parti-parti lain. Walaubagaimanapun, kita sedia pikul tanggungjawab itu.

“Kita juga mahu memastikan setiap daripada calon-calon UMNO akan lakukan yang terbaik demi kestabilan politik dan kesejahteraan negara serta masyarakat berbilang kaum yang memilih mereka kelak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu seramai lebih 700 Pemuda UMNO Johor akan digerakkan bagi membantu kempen di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.-MalaysiaGazette