NEW DELHI – Kesilapan dalam “pengubahan isyarat litar” yang membawa kepada isyarat yang salah menjadi punca kemalangan kereta api terbesar di Odisha bulan lalu.
Kenyataan itu dimaklumkan oleh Menteri Kereta Api, Ashwini Vaishnaw dalam satu kenyataan bertulis di Parlimen India.
Vaishnaw berkata, punca itu hasil siasatan yang dijalankan oleh Pesuruhjaya Keselamatan Kereta api (CRS) dan laporannya telah diserahkan kepada kerajaan.
“Perlanggaran belakang itu disebabkan oleh kerosakan pada litar isyarat-perubah yang dilakukan di North Signal Goomty (stesen) pada masa itu, dan semasa pelaksanaan kerja isyarat berkaitan penggantian Penghalang Pengangkat Elektrik untuk pintu lintasan aras No. 94 di stesen itu,” katanya.
Tragedi melibatkan tiga kereta api berlaku pada 2 Jun lalu berhampiran stesen Bahanaga Bazar di daerah Balasore, kira-kira 171 km timur laut Bhubaneswar, ibu kota Odisha.
Nahas itu berlaku apabila kereta api Howrah Superfast Express dalam perjalanan dari Banglore ke Howrah, Benggala Barat bertembung dengan Coromandel Express dari Kolkata ke Chennai.
Kejadian ini menyebabkan kereta api terbalik sepenuhnya.
Manakala kereta api ketiga, iaitu kereta api barangan yang diparkir di lokasi tersebut, turut sama terbabit.
Menurut Vaishnaw, seramai 295 penumpang terbunuh dalam nahas itu, 176 cedera parah, 451 mengalami kecederaan ringan dan 180 menerima rawatan pertolongan cemas.
Seramai 41 lagi mayat mangsa tidak dapat kenal pasti.
Siasatan nahas kereta api paling tragis dalam sejarah India diketuai oleh Biro Penyiasatan Pusat India. – Agensi