Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap pada sidang media khas mengenai Pilihan Raya Negeri ke-15 di The Urban, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 JULAI 2023

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mengumumkan tidak akan bertanding di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu diambil setelah beberapa bulan perkara itu dibahaskan secara dalaman oleh parti.

Katanya, langkah itu juga diambil selepas bersetuju dengan cadangan ayahandanya yang juga bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak mahu memecahkan undi Melayu.

“Kita telah membuat keputusan atas sebab kita setuju dengan cadangan Tun (Dr Mahathir) bahawa undi Melayu tak sepatutnya dipecahkan.

“Pada waktu yang sama kita setelah menanti sejak bulan Januari tidak mendapat respon yang positif daripada Perikatan Nasional atas hasrat kami untuk sertai gabungan itu, maka Pejuang telah membuat keputusan tidak akan menyertai PRN di enam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Taklimat Pertama Presiden tahun 2023 di sini, hari ini.

Menurut Mukhriz lagi, Pejuang kini mengambl kesempatan untuk membina kekuatan parti dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Dalam pada itu Mukhriz berkata, kepimpinan parti mengesyorkan kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan undi mereka pada PRN nanti dengan memilih calon yang tidak terlibat dengan kleptokrasi dan calon yang tidak menghadapi masalah integriti serta mereka yang memberi perhatian terhadap nasib Melayu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidaklah sampai kepada tahap untuk mengarahkan ahli menyokong mana-mana gabungan sebaliknya, memberikan ruang kepada mereka membuat pilihan yang betul pada PRN nanti.

Mukhriz menegaskan, keputusan yang dibuat oleh Pejuang untuk tidak menyertai PRN bukanlah bermakna parti itu takut untuk berhadap dengan pilihan raya berkenaan, sebaliknya, ia dianggap sebagai satu hikmah.

“Berundur selangkah tidak bermaksud berundur seterusnya, sebaliknya kita akan terus mara ke hadapan selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast