SUNGAI BESAR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya menggalas tugasnya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan baik.
Anwar berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk menukar jawatan penyandang tersebut sekiranya laporan MARA dalam tempoh enam bulan akan datang tidak memberangsangkan.
Namun beliau yakin kemampuan dan keupayaan Asyraf untuk memacu kemajuan MARA lebih berbaik berbanding sebelum ini.
“MARA ada pengerusi baharu yang tampan, berani, cukup enam bulan kita nak minta report (laporan) kalau kerja macam dulu, kita tukar.
“Tapi saya yakin bila kita tampil tokoh baharu ada idea, jiwa orang Melayu saya yakin enam bulan dia boleh tukar kemajuan dan MARA lebih baik daripada yang kita lihat dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Sentuhan Kasih Desa di Kompleks Stadium Sungai Besar, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sementara itu Anwar berkata, kerajaan bercadang untuk mewujudkan mekanisme yang boleh menambah baik kualiti pengeluaran dan hasil usahawan luar bandar agar dapat dipasarkan dengan baik.
Ujarnya, langkah berkenaan akan dapat membantu usahawan desa terutamanya, dalam menghasilkan produk yang berdaya saing.
“Sebab itu kita cadang supaya ada mekanisme untuk memperbaiki mutu pengeluaran dan hasil supaya lebih mampu berdaya saing dan membantu dari segi pemasaran sama ada dari segi maklumat digital yang dikendalikan kementerian lain.
“Penyelarasan penting untuk pengeluaran hasil usahawan dilakukan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tapi pemasaran dibuat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), maka harus ada penyelarasan yang baik untuk saling membantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette