KUALA LUMPUR – Aktiviti seks songsang adalah bercanggah dengan agama dan undang-undang negara serta tidak wajar dipromosi di pentas hiburan di Malaysia.
Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perbuatan yang mencemarkan adab dan akhlak bangsa serta negara bersusila dan bertamadun seperti Malaysia tidak wajar dibiarkan.
Menurut beliau, tetamu yang bertandang ke negara ini untuk berhibur terikat dengan peraturan dan undang-undang.
“Sebarang pelanggaran kepada undang-undang wajar diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa sebagai satu pengajaran kepada tetamu-tetamu lain.
“Tahniah atas tindakan tegas pihak berkuasa menghentikan segera konsert yang sedang berlangsung,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Dia didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzi menyatakan, beliau akan memanggil penganjur konsert tersebut untuk mendapatkan penjelasan. – MalaysiaGazette