kerusi lenggeng
Gambar hiasan.

DENGAN pengumuman Mohd Asna Amin sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, mungkin ramai yang menyangka drama perebutan kerusi tersebut telah berakhir.

Setakat ini, Parti Amanah Negara (Amanah) masih berharap dapat bertanding untuk bertanding di kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kelmarin, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman menegaskan, partinya perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Semalam, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan partinya akan mengemukakan rayuan terakhir kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Masa yang tinggal untuk rayuan Amanah dipertimbangkan dan dibuat keputusan semakin suntuk memandangkan PH Negeri Sembilan akan mengumumkan calon-calon mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam esok.

Mohd Asna Amin – Gambar: UMNO Online

Apa yang pasti, akar umbi Amanah di Negeri Sembilan khususnya di DUN Lenggeng agak resah dengan tindakan BN mengumumkan Mohd Asna sebagai calon malam tadi.

Jika Mohd Asna kekal sebagai calon, Amanah terpaksa menyimpan sahaja kenangan manis yang dicatatkan penyandang kerusi DUN Lenggeng, Suhaimi Kassim pada PRU14 kerana ia tidak akan berulang.

Suhaimi mencatatkan sejarah sebagai giant killer apabila berjaya menghadiahkan kemenangan untuk partinya di kerusi yang dikenali sebagai kubu kuat BN sejak PRU1.

Lenggeng Suhaimi Kassim kerusi
Suhaimi Kassim

Rekod yang dipegang BN selama 59 tahun berakhir setelah Suhaimi yang beroleh 7,456 undi menewaskan calon BN, Mazlan Maarop (6,470 undi) dan calon Pas, Mohammad Ghazali Abu Bakar (1,412 undi).

Walaupun Lenggeng berlatarkan suasana desa yang tenang, situasi politiknya diketahui agak panas sejak dari zaman Allahyarham Datuk Ishak Ismail dan Datuk Mustafa Salim menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ.

Mentaliti warlord melibatkan segelintir pimpinan UMNO setempat yang mahu melebarkan pengaruh masing-masing menyebabkan wujud beberapa kem yang memecahbelahkan akar umbi.

Kesan buruk akibat daripada sikap tidak mahu beralah termasuk dari segi pencalonan pilihan raya merupakan antara faktor yang menyebabkan Amanah dan PH dapat bertapak di Lenggeng pada 2018.

Menjelang seminggu hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, babak yang serupa berulang walaupun melibatkan watak-watak yang berbeza.

Terdapat kemungkinan, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin yang kini bersama Pas menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Lenggeng.

Sebagai anak tempatan yang berpengaruh dalam kalangan generasi muda, Zool Amali yang popular dengan gelaran Bozz Jebat mampu memberi saingan yang sengit kepada gandingan PH-BN.

Pertindihan tuntutan kerusi antara UMNO dan Amanah jika tidak ditangani dengan cermat dan bijaksana oleh pucuk pimpinan PH dan BN boleh mencetuskan krisis dalaman, sekali gus memberi kelebihan kepada PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast