KUALA LUMPUR – Pelawak Shuib akhirnya bertemu dengan kanak-kanak yang memiliki wajah mirip arwah isterinya Siti Sarah Raissuddin iaitu adik Miza.
Menerusi Instagram milik ibu mentua tirinya iaitu Siti Fatimah Suberi atau lebih mesra disapa Makder, momen berharga itu mengundang sebak netizen.
Apatah lagi pada pertemuan tersebut, pandangan dan renungan Shuib dengan mata yang redup itu membuatkan netizen berkongsi rasa sedih.
Menurut Makder, pertemuan itu merupakan sesuatu yang istimewa buat mereka sekeluarga.
Malah, menerusi coretan di hantaran itu juga, Makder juga berharap hubungan mereka sekeluarga bersama Miza berpanjangan.
“Alhamdulillah terlalu besar rezeki ini, dapat berjumpa lagi, kali ini satu keluarga. Semoga ikatan ini terus berpanjangan,” tulisnya.
Sebelum ini, tular video seorang kanak-kanak yang dikatakan wajahnya mirip penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, netizen mengatakan wajah kanak-kanak perempuan yang memakai baju oren dan berhijab itu saling tidak tumpah seperti arwah Siti Sarah.
Untuk info, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad telah mendirikan rumah tangga dengan Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah atau mesra dipanggil Watie pada 23 Jun lalu.
Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Putra Glass Hall, Putra Height, Shuib menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288.
Shuib sebelum ini pernah berkahwin dengan Siti Sarah pada tahun 2011 namun penyanyi itu meninggal dunia pada Ogos 2021 kerana Covid-19.
Hasil perkongsian hidup bersama Siti Sarah, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 2. – MalaysiaGazette