Razarudin Husain (kanan) diiringi Timbalannya Ayob Khan (kiri) dan Mohd Shuhaily dalam program walkabout KPN di kawasan Bukit Bintang, ibu negara malam tadi.Kredit foto PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan ‘walkabout’  di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang berdekatan Pusat beli- belah Pavillion di sini malam tadi.

Aktiviti itu diadakan bersama pucuk pimpinan tertinggi pasukan PDRM anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL).

Razarudin(kiri) dan Ayob Khan menguji kereta elektrik Tesla yang dipamerkan di pusat beli-belah terkemuka Pavillion dalam program Walkabout KPN di kawasan Bukit Bintang malam tadi.Kredit PDRM

Razarudin yang diiringi timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain meluangkan masa hampir dua jam untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Selain beramah mesra dengan pengunjung, mereka berkesempatan mendengar taklimat yang disampaikan oleh wakil syarikat Tesla berkenaan kereta elektrik Tesla yang dipamerkan di pusat beli-belah terkemuka itu.

Selain itu, mereka sempat menyaksikan persembahan Bob Buskers bersama Band Polis Kuala Lumpur.

PDRM yang berkongsi maklumat itu menerusi laman Facebook rasminya berkata, objektif utama program walkabout Ketua Polis Negara dan barisan kepimpinannya untuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan awam.

Ia juga memberi peluang kepada orang ramai berinteraksi dengan pihak berkuasa secara langsung.

Dalam program tersebut, pengedaran beberapa risalah pencegahan jenayah oleh AMANITA Kuala Lumpur kepada para pengunjung turut dijalankan bagi memberi informasi terkini berhubung tip pencegahan jenayah, keselamatan jalan raya dan pendedahan jenayah sepanjang program berlangsung.

Razarudin bermesra dengan orang ramai di kawasan Bukit Bintang sempena program walkabout KPN malam tadi. Kredit PDRM

Walkabout itu turut disertai  Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Deputi Komisioner Fatuk Fadzil Ahmat, pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, para barisan ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai kanan IPK KL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast