Salahuddin Ayub .

ALOR SETAR – Anak perempuan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah memohon agar ruang diberikan kepada pihak keluarga sahaja untuk melawat bapanya.

Menerusi satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata. perkara itu adalah atas nasihat doktor dan permintaan ahli keluarga.

“Bagi pihak keluarga, kami menghargai segala sokongan dan doa. Saya juga mohon semua agar terus mendoakan keadaan ayah saya,” katanya.

Siti Fatihah turut memaklumkan bapanya kini masih dalam penjagaan dan pemantauan rapi pasukan perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Semalam Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal memaklumkan menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Salahuddin juga telah selamat menjalani pembedahan pagi semalam dan berada dalam keadaan stabil. – Bernama