KUALA LUMPUR – Tujuh warga Malaysia yang terlibat dalam insiden kapal pelancong tenggelam di perairan Pulau Komodo, Indonesia semalam dilaporkan selamat.
Kementerian Luar yang mengesahkan perkara itu berkara, semua mangsa telah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan , hari ini.
Dalam insiden jam 11.45 pagi waktu Indonesia Tengah semalam, kapal terbabit dilaporkan berlayar dari Manta Point menuju Pantai Pink sebelum mengalami masalah enjin lalu tenggelam dalam pusaran air semasa ditunda oleh sebuah kapal lain.
Menurut Wisma Putra, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut dari semasa ke semasa.
Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di Jalan H.R Rasuna Said, Kav. X/6, No. 1-3 Kuningan, Jakarta Selatan, 12950 Indonesia atau menghubungi talian +62-21-5224947, +62-81380813036 (Pegawai Bertugas) atau emel di alamat [email protected] – MalaysiaGazette