R. Ramanan

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan kerjaya serta kesejahteraan sosial masyarakat India.

Ia membabitkan Program Subsidi Bayaran Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda, Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta dan Program Pelesenan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat (CAAM Part 66 Category A1/A3).

Program Teknikal Operasi Dron dan Perkhidmatan Data  (DRONE), Program Electrified Automation Advancement (EAAP) dan Program Bantuan 6000 Komputer Riba

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra, Datuk R Ramanan berkata, bagi Program Subsidi Bayaran Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda setakat ini Mitra telah menerima 5,000 permohonan dan jumlah itu dijangka meningkat dalam masa terdekat.

Katanya, seramai 10,000 mahasiswa dalam pengajian tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian Ijazah akan menerima bantuan subsidi bayaran yuran semester secara one-off bernilai RM2,000 mulai Ogos ini.

“Bagi program kedua pula Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. Mitra telah tandatangan dokumen perjanjian dengan kumpulan pertama seramai 42 pengurus tadika melibatkan 1035 kanak-kanak dengan peruntukan sebanyak RM2,484,000.00.

“Penyaluran subsidi akan bermula pada Ogos 2023. Subsidi pendidikan akan dibayar terus kepada pengusaha-pengusaha tadika,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, bagi Program Pelesenan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat seramai 100 belia India akan dilatih untuk menjadi juruteknik bertauliah dan 150 orang belia India akan menyertai program DRONE manakala 250 belia India B40 akan menyertai Program EAAP

“Kita juga melaksanakan Program Bantuan 6000 Komputer Riba (refurbished) untuk makmal komputer Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan kerjasama Google Malaysia mensasarkan 527 sekolah SJKT dengan program ini akan bermula mulai Ogos 2023.

“Mitra turut mengadakan Program subsidi bantuan dialisis untuk masyarakat India mensasarkan 900 pesakit kronik buah pinggang yang akan menerima subsidi sehingga RM9,600 untuk tempoh setahun dengan kerjasama pusat-pusat dialisis yang sedia ada dan bayaran akan disalurkan terus ke pusat dialisis,” ujarnya.

Penyaluran subsidi akan bermula pada Ogos ini dan ia akan dibayar terus kepada pusat-pusat dialisis yang telah diluluskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast