KUALA LUMPUR – MIC merakamkan ucapan takziah atas pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, malam ini.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negara kerana Allahyarham merupakan seorang pemimpin hebat dan sahabat yang baik.
“Saya amat terkilan dan sedih. Hilang kata-kata. Rakyat Malaysia bukan sahaja telah kehilangan seorang seorang pemimpin yang hebat, sebaliknya ini adalah detik sukar buat saya dan keluarga saya kerana beliau adalah sahabat akrab. Kami amat terasa dengan pemergian ini.
“Allahyarham mempunyai perwatakan rendah diri dan memiliki empati besar terhadap rakyat. Seorang yang tidak berhenti bekerja, dedikasi tinggi dalam melaksanakan segala tanggungjawabnya.
“Kami di MIC ingin merakamkan takziah buat keluarga arwah, semoga tabah dalam hadapi dugaan sebesar ini. Sesungguhnya ini adalah saat paling sukar,” katanya.
Anak Salahuddin, Fatihah memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia pada jam 9.23 malam tadi.
Timbalan Presiden Amanah itu sebelum ini dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan semalam, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB. -MalaysiaGazette