Foto: Bomba Johor

JOHOR BAHRU – Sebahagian jambatan di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas sepanjang 25 meter dekat Iskandar Puteri, runtuh akibat mendapan tanah petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh berkata, sebanyak tujuh anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kejadian tanah mendap yang melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter.

“Pasukan keluaran operasi telah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekitar selamat. Selanjutnya, kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan dan tiada mangsa terlibat.

Sementara itu, pihak pengurusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd dalam kenyataan berasingan memaklumkan pemeriksaan terperinci akan dilakukan terhadap keseluruhan jambatan berkenaan dan ketika ini, kakitangan projek Forest City dan pasukan teknikal berkaitan berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya.

“Forest City akan bekerjasama dengan jabatan kerajaan untuk melaksanakan tindakan dan prosedur yang sesuai bagi memastikan keselamatan pengguna, sebarang kemas kini akan dimuat naik melalui akaun media sosial rasmi Forest City,” menurut kenyataan itu. – Bernama