KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan Istana Negara.
Dalam kenyataan itu, baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.
Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah jam 9.23 malam tadi.
Khabar sedih itu dimaklumkan anak perempuan Allahyarham, Fatihah Salahuddin dalam hantaran di laman Facebook.
Salahuddin telah dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham Salahuddin yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2018 hingga 2020.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dari tahun 2018 telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette