Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq hadir menziarahi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di kediaman ibunya di Serkat, Tanjung Piai,Pontian, Johor. Foto MUHD NA’IM, 24 JULAI 2023.

PONTIAN – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi momen yang tidak dapat dilupakan bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menghubunginya semasa daerah Muar dilanda bencana banjir.

Ahli Parlimen Muar yang kelihatan sayu ketika ditemui di pekarangan kediaman ibu Allahyarham Salahuddin di Kampung Serkat, Tanjung Piai berkata, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu banyak menghulurkan bantuan untuk penduduk di kawasannya.

“Saya memang tidak akan akan lupakan tentang arwah, saya tidak perlu cari dia, dia yang hubungi untuk sampaikan bantuan daripada misi banjir di Muar, saya tak ada hubungi, arwah yang hubungi saya dulu untuk bertanya apa yang diperlukan.

“Itu memang saya tidak akan lupa. Caranya yang menghormati kita lebih muda itu bukan mudah untuk ada dalam hati pemimpin otai seperti beliau,” katanya ketika ditemui di Kampung Serkat Tanjung Piai pagi tadi.

Sebagai kenalan, Syed Saddiq tidak lupa mendoakan keluarga Allahyarham Salahuddin agar tabah menghadapi dugaan serta menempuhi tempoh sukar dengan tabah.

Sebelum ini, Salahuddin menghembuskan nafas terakhir pada malam tadi.

Salahuddin, 61, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Ahli Parlimen Pulai dikejarkan ke hospital pada Jumaat selepas mengalami mual dan muntah, sebelum doktor mengesannya mengalami pendarahan otak.

Allahyarham telah menjalani pembedahan kecemasan pada pagi Ahad dan diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fatimah Taha dan enam anak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast