SEREMBAN – DAP akan mengumumkan senarai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di empat negeri secara berperingkat bermula hari ini sehingga Selasa.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, senarai bagi calon di Selangor akan diumumkannya di Ibu Pejabat DAP tengah hari esok diikuti Pulau Pinang dan Kedah pada Selasa.
“Untuk calon di Negeri Sembilan, kita baru buat keputusan petang tadi dan umumkan malam ini (tadi) dan tengah hari esok saya akan umumkan untuk DAP Selangor di Ibu Pejabat DAP.
“Hari Selasa saya akan umumkan pula untuk Pulau Pinang dan juga Kedah sekali gus melengkapkan senarai calon DAP di empat negeri yang ditandingi.
“Semua calon akan diumumkan saya di negeri masing-masing,” ketika ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Sikamat, di sini, malam tadi.
Anthony yang juga calon DUN Chennah terdahulu mengumumkan seramai 19 calon PH dengan 11 daripadanya mewakili DAP untuk bertanding di 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan 12 Ogos ini.
“Hampir semua 11 kerusi yang ditandingi DAP kali ini merupakan calon penyandang kecuali Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang merupakan muka baharu
“Kebanyakan calon masih muda berusia 30-an termasuk paling berusia pun hanya awal 60-an yang dipilih berdasarkan pandangan di peringkat akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette