Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat Malaysia mencatatkan jualan berpotensi bernilai AS$38.4 juta pada Semicon West 2023, yang diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Matrade, Sharimahton Mat Saleh berkata pencapaian itu menunjukkan minat mendalam dan keyakinan kukuh terhadap keupayaan teknikal Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

“Semicon West sudah pasti menjadi satu acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peserta industri semikonduktor Malaysia.

“Tahun ini menandakan penyertaan ke-13 Matrade di Semicon West, mengukuhkan komitmen Matrade yang tidak berbelah bahagi untuk memperhebat kehadiran Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata Malaysia adalah pautan utama dalam rantaian bekalan elektronik global, menyumbang tujuh peratus kepada perdagangan semikonduktor global dan 13 peratus kepada kegiatan pemasangan, ujian dan pembungkusan cip global.

11 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam acara tersebut iaitu ATC Surface Finishing; Amerix Metal Machining Technology; Betamek (M) Electronics; CG Global; Coraza Systems; ECA Advanced Solutions; Ideal Vision; NSW Automation; QES Mechatronic; TT Vision Technologies dan ViTrox Technologies.

Acara ini mengetengahkan pelbagai produk dan teknologi canggih dalam peralatan ujian automatik, mesin pemeriksaan penglihatan, sistem pengagihan kejituan, perkhidmatan pembuatan elektronik dan penyumberan luar perkhidmatan ujian dan pemasangan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Los Angeles, Irvin Francis berkata Malaysia juga bersedia untuk meneruskan penyertaannya melalui Semicon West 2024 (San Francisco, California) dan Semicon West 2025 (Phoenix, Arizona).

Tahun lepas, industri E&E adalah pengeksport utama Malaysia dengan mencatatkan RM593.52 bilion (US$134.79 bilion), menunjukkan pertumbuhan 22.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 38.3 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (IC) menyumbang 65.2 peratus kepada jumlah eksport E&E Malaysia pada 2022, bernilai RM386.89 bilion (US$67.83 bilion), dengan Singapura, AS, China, Hong Kong dan Taiwan menjadi pasaran eksport utama Malaysia.

Pada 2022, Malaysia disenaraikan sebagai pengeksport produk E&E  ke-12 terbesar dan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia. – BERNAMA