Azalina Othman Said

KEPALA BATAS – Kesimpulan perbincangan bersama Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan isu agama, bangsa dan raja (3R) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu ini.

Antara pihak yang terlibat dalam perbincangan itu termasuk Badan Peguam Malaysia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) serta lain-lain agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih banyak perbincangan membabitkan isu ini perlu dilakukan dari aspek perpaduan jangka masa panjang.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia bergantung kepada keputusan Kabinet sama ada memerlukan pihaknya melakukan kajian lanjut atau sebaliknya.

“Kita lakukan perbincangan mengenai (keberkesanan perundangan sedia serta tangani isu 3R) susulan ada pihak yang berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi, ada yang kata perlu undang seperti negara Singapura, Australia.

“Pada pandangan saya, undang-undang sedia ada mencukupi dari segi elemen jenayah tapi sekarang kita kena tengok dari sudut perpaduan.

“Jadi saya berpendapat kita perlu perbanyakkan lagi perbincangan sebab kalau kita tidak melihat pada aspek perpaduan dalam jangka masa panjang, nanti akan ada pihak di Malaysia ini yang gunakan agama bangsa dan institusi raja sebagai elemen 3R sebagai ‘peluru’ politik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai hasil perbincangan Kerajaan dan pihak lain berhubung perundangan 3R pada Jumaat lalu.

Azalina memberi ucapan pada Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di Bertam Resort, Kepala Batas hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di Bertam Resort di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Azalina berkata, menerusi perbincangan sama, ramai yang menyuarakan cabaran masa kini khususnya kes melibatkan media sosial dari segi penguatkuasa dan pensabitan.

“Sebagai mantan peguambela saya berpandangan semasa Akta Hasutan 1948 digubal tiada media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sistem kecerdasan buatan (AI).

“Jadi dia (media sosial) adalah mesin dan bagaimana nak buktikan mesin itu dan bawa ke ia ke mahkamah? susah, sebab ia boleh dibuat (tulis hantaran) dan padam.

“Sehubungan itu, kita ambil langkah bincangkan isu ini sebelum bentang kajian. Ini kajian fasa pertama kepada menteri-menteri Kabinet untuk melihat secara menyeluruh,” katanya.

Media tempatan pada Jumaat lalu melaporkan satu sesi libat urus diadakan hari ini bagi mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada dan meneroka model perundangan alternatif dalam menangani isu agama, bangsa dan institusi raja-raja (3R).

Sesi itu yang turut membincangkan cabaran terkini dihadapi agensi penguat kuasa berhubung isu provokasi 3R, dihadiri lebih 50 wakil terdiri daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), badan peguam, pertubuhan masyarakat Madani (CSO), badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan organisasi agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast