KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi membuka ruang kerjasama strategik kepada syarikat-syarikat swasta dan individu-individu persendirian yang berminat mengusahakan infrastruktur pertanian moden menerusi Program Usahawan Tani (Intan).
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan menjemput rakan-rakan strategik daripada syarikat swasta dan individu persendirian melalui kaedah permintaan untuk cadangan (RFP) bagi mengusahakan program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) itu.
“Tawaran dibuka kepada syarikat pertanian moden yang bersedia bekerjasama dengan kami untuk membina dan mengurus infrastruktur pertanian moden ini di tapak-tapak yang telah diperolehi oleh Kementerian Ekonomi.
“Selain itu, ia dibuka kepada syarikat swasta dan individu yang ingin mengusahakan projek IPR Intan di atas tanah mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, Kementerian Ekonomi akan menyediakan model perniagaan perkongsian keuntungan kepada peserta-peserta daripada kalangan B40 dan miskin tegar serta syarikat-syarikat pertanian moden yang menjadi operator dan pengurus.
Rafizi memberitahu, bagi projek-projek di atas tanah persendirian dan syarikat swasta, Kementerian Ekonomi akan menyediakan geran pembinaan infrastruktur pertanian tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan kelak.
“Maklumat lanjut akan diumumkan setelah pengumuman RFP dibuat oleh Kementerian dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” jelasnya.
Rafizi berkata, hasil kerjasama dengan sektor awam sebelum ini, Kementerian Ekonomi telah mengenal pasti tapak-tapak yang dipadankan dengan peserta-peserta daripada golongan miskin di lapan negeri.
Menurut beliau, tapak-tapak di Selangor, Putrajaya, Terengganu, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu melibatkan tanah seluas 1,007 ekar dan 1,426 peserta.
Kata Rafizi, tumpuan seterusnya dalam usaha membina infrastruktur pertanian moden tersebut adalah untuk melatih profesional-profesional daripada kalangan belia yang akan ditempatkan di infrastruktur-infrastruktur pertanian di seluruh negara sebagai pengurus tapak.
“Oleh itu, Kementerian Ekonomi telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membangunkan sebuah pusat latihan kemahiran pertanian moden.
“Seramai 65 peserta pertama akan mengikuti latihan pada 2024 dan 65 peserta tambahan bakal menyusul pada 2025,” katanya.
Beliau memberitahu, tempoh latihan bagi peserta Program Kecemerlangan Industri Pertanian adalah setahun bagi sektor agropreneur dan setahun setengah bagi sektor akuakultur. – MalaysiaGazette