Ibu kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menyiram air mawar di pusara anaknya ketika di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2023.

PONTIAN – Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulung, Kampung Serkat, Tanjung Piai hari ini.

Jenazah allahyarham disemadikan kira-kira pukul 12.05 minit tengahari dan pengebumian dihadiri keluarga terdekat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, 37, turut berkesempatan mengimamkan solat jenazah buat Allahyarham sebelum ketibaan Perdana Menteri yang merupakan antara permintaan terakhir ketika Allahyarham masih hidup.

Solat jenazah itu dilaksanakan beberapa kali bagi membolehkan lebih ramai jemaah memberi penghormatan terakhir buat allahyarham.

Dianggarkan seramai lebih 1,000 individu hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen Pulai itu terdiri daripada ahli keluarga, pemimpin politik, sahabat Allahyarham serta masyarakat setempat.-MalaysiaGazette