Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan Menteri Pelancongan. Datuk Seri Tiong King Sing yang menceroboh pintu masuk utama negara tanpa memiliki pas keselamatan didakwa cuba membebaskan seorang pelawat China akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada minggu ini.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dengan tindakan tambahan yang diminta pejabat itu.

“Kertas siasatan itu kita akan rujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara dalam minggu ini untuk arahan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di KLIA: Polis selesai rakam keterangan 22 individu

Pada 29 Jun lalu, satu rakaman video tular di laman media sosial memaparkan menteri itu menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa memiliki sebarang pas keselamatan bagi membebaskan seorang pelawat wanita China yang ditahan Jabatan Imigresen.

Berikutan kekecohan itu, King Sing menerusi satu kenyataan mengaku beliau merupakan VIP berstatus menteri yang tular di laman media sosial.

Dalam kenyataan tersebut, King Sing mendakwa wujud amalan rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen  di KLIA.

Menurut Hussein, kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu tidak memberi kerjasama kepada penjawat awam.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-dua sekali, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 2 portfolio menteri yang rakyat cadangkan perlu diisi segera dengan calon baharu, satu menteri Sarawak yang didakwa menceroboh balai ketibaan KLIA dan kedua yang meninggal dunia baru2 ini.

    Kedua2 portfolio ini sangat penting untuk ekonomi negara.

Comments are closed.