Seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Kedah direman bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia 50-an ditahan kira-kira jam 8 malam semalam di pejabat Suruhanjaya pilihan Raya (SPRM) Alor Setar, kerana disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi, ujarnya.

Setakat ini, menurutnya, secara keseluruhan seramai empat suspek telah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI), pengarah syarikat dan pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Pada 19 Julai lalu, CEO MBI dan seorang pengarah syarikat ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa sektor perlombongan berjumlah lebih RM13 juta.

Difahamkan, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh sebuah syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.

“Hasil siasatan yang dijalankan berjaya mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta yang diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini bagi tempoh 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast