Mohamad Ikhwan Afiq.

GEORGE TOWN – Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor mendesak Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mengundur diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu dalam Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri Ogos ini.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera untuk berarak secara besar-besaran sebagai calon bebas sekiranya Dominic masih berkeras untuk menjadi calon di kawasan majoriti Melayu.

Jelasnya, gerakan jentera itu juga akan dilakukan bagi DUN Permatang Berangan sekiranya calon daripada Bersatu dipertaruhkan untuk kerusi tersebut.

“Kita akan gerakan calon bebas bagi DUN Telok Ayer Tawar pada hari penamaan calon iaitu Sabtu ini sekiranya beliau (Dominic) tidak undur diri daripada menjadi calon bagi salah satu kerusi itu.

“Selain itu, kita bersama pengundi akan memastikan kekalahan kepada calon Gerakan di Telok Air Tawar dan calon Bersatu di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.

“Jangan cabar kesabaran Pemuda Pas serta jangan sesekali bermain dengan api yang akhirnya akan memakan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu tular dakwaan setiap parti dalam Perikatan Nasional diberikan satu kerusi dalam tiga DUN di Parlimen Tasek Gelugor. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.