Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengiringi jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Johor. Foto MUHD NA'IM, 24 JULAI 2023.

PONTIAN – Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan seorang pemimpin politik yang sentiasa konsisten dalam perjuangan membela kebajikan rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sifat terpuji yang telah ditunjukkan allahyarham semasa hidup akan menjadi suri tauladan buat golongan pemimpin lain khususnya dalam kerajaan.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Pulai itu tidak pernah berhenti daripada mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan beban rakyat.

“Saya datang dengan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) mewakili keluarga dan kerajaan untuk ucapkan takziah kepada pemergian seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

“Satu kehilangan besar buat negara kerana allahyarham sinonim dengan rahmah, itu sifat dia yang konsisten dalam tugas. Beliau tak pernah terlepas cari jalan dan kaedah untuk ringankan beban rakyat.

“Saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi tauladan, terutamanya sifat penyayang dan rahmah yang telah beliau tonjolkan sehingga akhir hayat,” katanya selepas mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, di sini hari ini.

Tambah Anwar, kehadirannya turut bertujuan menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada keluarga Allahyarham secara peribadi.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu, pengganti jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula memberitahu, allahyarham merupakan seorang individu yang kuat bekerja dan sentiasa memikirkan rakyat.

“Kali terakhir jumpa allahyarham adalah dalam sesi Kabinet minggu lepas, beliau bawa agenda untuk meringankan beban kos sara hidup. Setiap minggu beliau beri laporan kepada Kabinet, seorang yang bekerja keras, amat berdedikasi dan kita kehilangan seorang pemimpin rakan yang berjiwa besar.

“Bukan senang jaga kementerian itu apatah lagi pada masa sekarang, banyak orang berkata macam-macam, pelbagai tekanan beliau hadapi. Pada akhirnya kita semua manusia bukannya robot,” jelasnya.

Manakala, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula memberitahu pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar buat rakyat Johorkhususnya penduduk di kawasan iaitu Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.-MalaysiaGazette