Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen P.161 Pulai diisytiharkan kosong oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Menurut Johari, beliau telah memaklumkan kematian penyandang kerusi itu Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dengan ini dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai 2023 kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai, Johor telah meninggal dunia pada hari Ahad, 23 Julai 2023,” katanya.

 

Salahuddin Ayub meninggal dunia

Tambah beliau, selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengisi kekosongan luar jangka itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh suruhanjaya tersebut.

“Di kesempatan ini, bagi pihak Parlimen Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh di sisi Allah Subhanahu Wataala,” katanya.

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada Ahad selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Jumaat selepas mengalami mual dan muntah-muntah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast