KUALA LUMPUR – Semua parti diminta tidak mencemarkan tempoh berkempen dengan perkara yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.

Majlis Ulama UMNO berkata, semua parti yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu tahu kepentingan menghindari isu yang sensitif terutamanya mengenai agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

“Mendesak agar sebarang bentuk penghinaan kepada institusi diraja diambil tindakan yang tegas menurut lunas undang-undang negara kerana ia akan menggoyahkan keutuhan kesetiaan dan ketaatan kepada sultan dan raja Melayu yang menjadi tonggak ulil amri di negara ini,” kata Majlis Ulama UMNO selepas mengadakan mesyuarat kali kedua hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Datuk Dusuki Ahmad.

Majlis tersebut turut menasihati umat Islam supaya mengamalkan politik sihat dan matang yang bebas daripada unsur fitnah.

“Mengamalkan politik kepartian yang sihat dan berakhlak dengan mengelakkan politik fitnah, mengadu domba, mengejek, merendah-rendahkan, maki hamun serta mencela sesama muslim dan rakyat dengan menjadikan peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat Ayat 11 dan 12 sebagai panduan,” tambah majlis berkenaan.

Sementara itu Majlis Ulama UMNO merakamkan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia semalam.

“Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham bersama para anbiya dan solihin atas sumbangan beliau kepada negara dan agama.

“Mudah-mudahan segala sumbangan tersebut menjadi amal jariah kelak,” kata majlis itu. – MalaysiaGazette