KUALA LUMPUR – Ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menzahirkan ucapan terima kasih kepada insan yang mengiringi perjalanan akhir Ahli Parlimen Pulai itu.
Menerusi Facebook milik Salahuddin, satu hantaran dibuat bagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan politik, ahli parti dan penyokong Timbalan Presiden Amanah itu yang tidak putus-putus mengucapkan takziah dan menzahirkan doa di laman media sosial.
“Terima kasih juga kepada warga KPDN, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airlines, Hospital Sultanah Bahiyah, dan semua pihak terlibat yang memudahkan urusan penghantaran pulang jenazah dari Alor Setar ke Tanjung Piai.
“Terima kasih kepada kakitangan Hotel Grand Alora, Alor Setar yang memudahkan urusan ketika Allahyarham berdepan detik cemas dengan segera menguruskan kedatangan ambulans,” demikian menurut hantara itu.
Hantaran itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu melancarkan perjalanan para tetamu kehormat serta menjaga keselamatan sepanjang urusan pengebumian Allahyarham, semalam.
Katanya, tidak lupa juga kepada semua penduduk kampung dan ahli kariah Serkat, Johor yang turut sama menghulurkan sokongan.
“Akhir sekali penghargaan tidak terhingga juga kami ucapkan kepada semua pihak yang bertekad untuk meneruskan legasi Allahyarham, terutamanya untuk menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
“Kami berharap agar masyarakat dapat terus mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Insya-Allah.
“Semoga Legasi Rahmah dan kasih sayang terus mekar dalam setiap diri kita,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham Salahuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, sekitar pukul 12 tengahari, semalam.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pukul 9.23 malam Ahad lalu setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – MalaysiaGazette