KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia (Lotus’s) kini menawarkan potongan harga secara kekal sehingga 37 peratus terhadap lebih 3,500 produk runcit berjenama dan produk Lotus’s.
Pengarah Eksekutif Pelanggannya, Vivian Yap berkata, kempen Hari-Hari Harga Rendah di bawah inisiatif #LotussLebihMurah itu selari dengan saranan dan usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Malah, setiap dua minggu, Lotus’s juga akan menjalankan promosi terhadap 300 hingga 500 produk #LotussLebihMurah.
Vivian berkata, Lotus’s membelanjakan kira-kira RM50 juta setahun bagi menampung subsidi meringankan harga produk keperluan isi rumah.
“Sebelum tahun 2019, rakyat Malaysia menikmati pertumbuhan yang sangat stabil dari segi KDNK, dan peruncitan berkembang pesat dan berjalan dengan baik.
“Ramai rakyat Malaysia sedang berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup dan mahukan kestabilan harga serta kos barangan runcit dan hasil segar yang lebih rendah.
“Lotus’s sentiasa cuba untuk memperjuangkan nasib pelanggan dari segi belanjawan mereka, maka kami memutuskan untuk memperkenal banyak inisiatif untuk membantu pelanggan dan menawarkan harga semurah yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi memperkenalkan #LotussLebihMurah di Lotus’s Kepong, di sini, hari ini.
Katanya, tawaran Hari-Hari Harga Rendah itu boleh dinikmati di semua 66 cawangan Lotus’s Malaysia seluruh negara termasuk pembelian secara atas talian.
Antara produk #LotussLebihMurah merangkumi pelbagai barangan keperluan isi rumah di Malaysia seperti beras, pasta, minyak masak, mi segera, sardin, perasa, rempah, sos, kopi dan teh.
Ia termasuk marjerin, mentega, keju, yogurt, susu, aiskrim, makanan sejuk beku, makanan ringan, biskut, coklat, lampin, detergen, penjagaan kebersihan wanita, susu formula dan makanan haiwan ditawarkan dengan harga rendah dan murah.
Sementara itu Vivian berkata, eksklusif bagi ahli My Lotus’s, mereka dapat berjimat dengan lebih banyak lagi apabila mendapat mata ganjaran selepas membuat pembayaran.
“Bila-bila Ahli MyLotus’s membeli-belah dengan kami, setiap ringgit yang dibelanjakan akan mendapat 1 mata ganjaran. Ahli MyLotuss boleh menggunakan mata untuk membayar pembelian, yang mana 1,000 mata ganjaran berharga RM5,” katanya.
Vivian menambah, Lotus’s Malaysia turut menawarkan lebih 3,000 produk jenama sendiri sebagai alternatif barangan lebih murah.
“Majoriti produk Lotus’s dibuat di dalam negara hasil kerjasama dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.
“Harganya mungkin 15 ke 20 peratus lebih murah berbanding jenama nasional tetapi Lotus’s tidak mengurangkan kualitinya.
“Pembekal perlu diaudit tahunan untuk memastikan pematuhan kepada kualiti produk, serta pematuhan kepada peraturan makanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ia mesti disahkan halal,” katanya.
Bercakap mengenai Menu Rahmah, Vivian berkata, 59 medan selera Lotus’s di seluruh negara akan terus menawarkan menu pada harga RM5.
Katanya, bagi membantu pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah, Lotus’s akan memberikan potongan sebanyak 10 peratus untuk bahan utama yang digunakan pemain industri. -MalaysiaGazette