Khairul Firdaus (tiga dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang selepas melancarkan Promosi "Merdeka Madness 66% For All" di Menara KL di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) dan Tourism Malaysia disaran untuk mengadakan kerjasama strategik bagi mempromosikan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) agar terus menjadi pusat tumpuan pelancong.

Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memartabatkan kembali Menara KL yang telah menjangkau usia hampir 30 tahun.

“Kebiasaannnya bila tempat tarikan pelancong itu agak berumur pengunjungnya makin kurang…tetapi ianya tidak pula berlaku terhadap Menara KL ini.

“Sebab itu saya telah mohon supaya MATIC dan Tourism Malaysia dapatlah berbincang dengan pihak Menara KL melihat bagimana boleh membuat pernacangan dan setersunya paling penting dapat bawa imej negara ini kepada pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Promosi Merdeka Madness 66% For All di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad.

Dalam pada itu Khairul Firdaus berkata, kementeriannya sering mengadakan perbincangan dengan pemain industri pelancongan bagi tujuan menambah baik lagi industri itu pada setiap masa.

Ujarnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga terbuka untuk mendengar pandangan, kritikan dan juga cadangan daripada semua pihak bagi merancakkan dan memperbaiki lagi sektor pelancongan di negara ini.

Sementara itu, Nazli berkata, promosi yang julung kali diadakan itu bakal memberikan pulangan berbaloi kepada pengunjung.

Katanya, ia adalah hadiah istimewa daripada Menara Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan kepada para pengunjung yang sentiasa menyokong Menara KL sejak 1996 sehingga kini.

“Inisiatif Menara KL menawarkan promosi ini adalah untuk merancakkan dan mempromosikan industri pelancongan di Malaysia kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Promosi ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia, namun, Menara KL juga menawarkan diskaun sebanyak 66 peratus ini kepada pengunjung antarabangsa,” katanya.

Merdeka Madness 66% For All akan bermula pada 1 Ogos ini hingga 16 Sepetember depan.

Ia merupakan promosi semena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-66 dengan tema ‘Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Menerusi promosi itu, pengunjung dikenakan harga tiket bermula daripada RM7 bagi lawatan ke Observation Deck atau Tower Walk 100, manakala bagi tiket masuk ke Sky Deck dan Sky Box pula, harga yang tawarkan adalah bermula RM13.00 sahaja.

Menara KL juga menawarkan pakej kombo, dimana para pengunjung boleh melawat ke Sky Deck, Sky Box dan Observation Deck dengan harga RM35 (harga normal RM101) bagi dewasa MyKad dan RM59 (harga normal RM170) bagi dewasa tanpa MyKad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast