Seramai 85 individu ditahan di sebuah kelab malam di Lebuh Nordin, Pulau Pinang untuk pemeriksaan narkotik.

GEORGE TOWN – Seorang pempengaruh TikTok antara 85 individu yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Nordin di sini Ahad lalu.

Wanita berusia 20 tahun yang juga ahli perniagaan itu bagaimanapun dibebaskan selepas ujian air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pukul 2.15 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Tiga individu termasuk seorang wanita didapati positif dadah.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan air kencing mendapati hanya tiga daripada 85 individu yang ditahan itu positif dadah.

“Mereka yang positif dadah itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 27 tahun. Masing-masing mereka didapati positif pelbagai jenis dadah iaitu THC dan Benzo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, ketiga-tiga tangkapan itu direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah semasa mengunjungi pusat hiburan, katanya. – MalaysiaGazette