PUTRAJAYA – Kerajaan akan menaiktaraf Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan kepada status Pingat Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan itu diberikan kepada anggota badan beruniform yang menyertai misi bantuan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terutama dalam misi gempa bumi Turkiye pada tahun ini.

“Terdapat syor agar pingat khas itu digazetkan jadi satu pingat yang diberikan untuk mana-mana dan agensi kerajaan yang selepas ini terlihat dalam operasi dan misi kemanusiaan yang sama.

“Sekarang bahagian berkenaan tengah memuktamadkan proses dan sekiranya selesai ia akan menjadi Pingat Persekutuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya badan beruniform samada ATM, PDRM, NADMA dan sebagai yang akan terlibat dalam mana-mana misi kemanusiaan dan juga SAR yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis Penganugerahan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Turkiye 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Terdahulu seramai 250 petugas pasukan penyelamat bagi misi bencana di Turkiye pada Februari lalu menjadi kumpulan pertama menerima Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan.

Pingat itu pertama kali diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota-anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.

Selain pingat berkenan, kumpulan pertama itu turut diberikan elaun harian berjumlah RM100 sehari sepanjang berada di kawasan misi kemanusiaan.

Pada Februari lalu, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat serta dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Dalam pada itu Armizan berkata, pasukan pertama petugas penyelamat negara mula digerakkan ke Turkiye pada 6 Februari lalu bagi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi di Gaziantep.

Menurutnya, pasukan penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup dan mengeluarkan 47 mangsa yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhadapan dengan beberapa cabaran yang agak mencabar antaranya cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta perbezaan bahasa dan budaya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, ATM telah menghantar seramai 110 orang pasukan perubatan bagi mengendalikan Hospital Medan Malaysia (HMM) bermula pada 15 Februari hingga 23 Mac 2023.

Katanya, seramai 2,415 pesakit dirawat termasuk 83 kes pembedahan.

“Sumbangan yang telah dicurahkan ini telah mengharumkan nama dan melonjakkan lagi imej Malaysia di pentas antarabangsa yang sudah pasti membanggakan kita semua.

“Ia akan menjadi tanda aras kepada Malaysia semasa menyertai SAR di luar negara pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast